Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hasif Matzin
DELIMA, Sabtu, 15 November. - TAIB Filling Station Sendirian Berhad (TFSSB) telah mengadakan Majlis Pembukaan Semula Stesen Minyak TAIB Sendirian Berhad, Cawangan Delima, bertempat di tapak stesen berkenaan, hari ini.
Stesen Minyak TAIB, Cawangan Delima, memulakan semula operasi penjualannya selepas ditutup sejak bulan Ogos 2024 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian.
Pembukaan semula ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan TFSSB untuk meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan serta menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada para pelanggan.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).
Turut hadir Ahli-ahli Lembaga Pengarah TFSSB, Perbadanan TAIB serta anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd., di samping beberapa jemputan khas daripada pelbagai institusi dan pihak-pihak yang berkepentingan.
Pembukaan semula Stesen Minyak TAIB Sdn. Bhd., Cawangan Delima ini mencerminkan komitmen Perbadanan TAIB dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada para pelanggan.
Reka bentuk dan fasiliti stesen ini telah dinaik taraf sejajar dengan keperluan semasa serta mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Syarikat Brunei Shell Marketing (BSM), sekali gus memberikan pengalaman baharu melalui perkhidmatan pelanggan yang lebih efisien dan selesa.
Stesen Minyak TAIB Sdn. Bhd., Cawangan Delima turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kongsi, pelanggan serta orang awam atas sokongan yang berterusan, dan berharap agar dengan pembukaan semula stesen ini, ia akan dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.